KUALA LUMPUR – Seorang bekas pembantu sebuah pusat asuhan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak berusia tiga tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal, lima bulan lalu.
Nur Iffatinnadwah Mat Lias, 22, yang diamanahkan untuk menjaga seorang kanak-kanak lelaki, didakwa menganiaya mangsa dengan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal di pusat asuhan itu di Plaza Damas di sini, di antara pukul 5.15 petang dan 6.15 petang, 9 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaludin memohon jaminan RM20,000 manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah kerana dia yang merupakan anak yatim kini berniaga dan tinggal bersama abangnya.
Hakim Egusra Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 7 Februari tahun depan untuk sebutan kes. – MalaysiaGazette