KUALA LUMPUR – Kegembiraan bermandi-manda di Pantai Bundusan, Papar, Sabah bertukar duka apabila dua individu ditemukan lemas, semalam.
Selain itu seorang lagi masih hilang dalam kejadian jam 5.38 petang.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian berlaku melibatkan empat mangsa yang sedang beriadah di pantai itu.
“Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun berjaya diselamatkan penduduk kampung, namun dua mangsa lain, masing-masing remaja lelaki berusia 14 tahun dan kanak-kanak lapan tahun telah disahkan meninggal dunia.
“Seorang mangsa ditemukan oleh penduduk kampung tetapi disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mangsa kedua pula dijumpai tidak bernyawa pada jam 6.56 petang,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 48 tahun masih belum ditemukan dan usaha mencari serta menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan.
Menurutnya, operasi SAR melibatkan anggota bomba, penduduk kampung dan agensi berkaitan masih diteruskan hingga kini dengan fokus di sekitar kawasan pantai tersebut. – MalaysiaGazette