KUALA LUMPUR – Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) menyelar kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkaitan hukuman sebat di khalayak ramai dengan menyifatkannya seolah-olah mempertikaikan bidang kuasa negeri.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya menegaskan, hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Syariah Terengganu adalah berpandukan lunas perundangan yang jelas dan tidak bertentangan dengan kuasa negeri seperti yang dinyatakan dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Malah, katanya, keputusan pihak Hakim Mahkamah Syariah Negeri itu seharusnya dihormati oleh semua pihak.
“DUPP mengingatkan Suhakam agar tidak membuat kenyataan yang boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan rakyat.
“Tambahan lagi jika pendirian Suhakam itu seolah-olah mempertikai bidang kuasa negeri,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad turut mengingatkan Suhakam bahawa dalam undang-undang, prinsip hukuman setimpal dan pencegah rintang kepada masyarakat di luar sana sangat mustahak.
“Usah membakulkan segala-segalanya atas nama hak asasi manusia semata-mata sehingga mengenepikan peranan undang-undang dalam mengurus kehidupan manusia,” katanya.
Jelasnya, Suhakam seharusnya mengangkat prinsip perundangan serta menilai hak asasi daripada perspektif agama, bukan bertindak sebaliknya berpandukan kepada agenda hak asasi manusia ciptaan barat yang telah rosak.
“Justeru, DUPP menegaskan bahawa hukuman sebatan di khalayak ramai ini adalah wajar dan bukannya berniat untuk menjatuhkan maruah si pesalah.
“Ia perlu dilihat dalam konteks hukuman yang membentuk keinsafan kepada si pesalah dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sedemikian pada masa akan datang,” katanya.
Pada 20 November lalu, seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.
Hukuman kali pertama di luar penjara itu akan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, petang ini. – MalaysiaGazette