KUALA LUMPUR – Aktivis dan pereka grafik kontroversi Fahmi Reza bertindak lebih berani dengan menampal karikatur Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Kota Kinabalu hari ini.
Dalam perkongsian di Facebook, Fahmi memuat naik satu video berdurasi 40 saat beliau sedang menampal karikatur Musa.
“Solidariti dengan rakyat Sabah yang melawan rasuah, melawan korapsi,” katanya ringkas dalam video tersebut dengan tanda pagar bertulis koruptorno1sabah dan rakyatadalahbos.
Bagaimanapun beberapa komen dalam hantaran itu menegur perbuatan Fahmi yang dianggap mencampuri urusan negeri Sabah.
Malah ada kalangan penggikut Facebook pereka grafik itu meminta Fahmi untuk meninggalkan segera bumi Sabah.
“Kau tiada hak untk mengkritik TYT Sabah. Cuma Sabahan yang layak mengkritik pemimpin Sabah. Parti Malaya sila berambus dari bumi Sabah,” komen Lily Madingkir.
“Ini budaya orang Semenanjung yang tiada di Sabah, kami di Sabah masih memiliki nilai tamadun yang tinggi, kami orang Sabah biar benci macam mana pun kami tidak sangup menghina saudara seagama kami macam ni, sebab manusia ada silap dan tidak sempurna. Di Sabah ada undang-undang nenek moyang kami tidak ajar menghina orang. Apa kepentingan kau datang sabah dan buat mcm tu? Kurang ajar kau ni mungkin sudah turun temurun punya kurang ajar,” kata Helmy Syah.
“Jangan bawa budaya kotor najis kamu bawa masuk Sabah,” kata Apcahe Apache.
Begitu pun ada yang menyokong tindakan yang dilakukan oleh aktivis dan pereka grafik kontroversi itu.
Pada 19 Disember lalu polis merekod keterangan Fahmi untuk siasatan karikatur serta kenyataan berbaur memperlekehkan pelantikan Musa sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ ) Bukit Aman selepas laporan diterima pihaknya.
Laporan dibuat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kenyataan yang dimuat Fahmi di Facebook.
“Siasatan mengenai karikatur serta kenyataan yang dipercayai dimuat naik untuk mengkritik, menghasut, cuba membangkitkan kebencian dan provokasi terhadap beliau (Musa) serta Ke-Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” kata Razarudin.-MalaysiaGazette