KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan membuat laporan polis berhubung penyebaran video dan mesej yang memberi gambaran kononnya beliau berhasrat untuk memurtadkan orang Muslim atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.
Menyifatkan dakwaan itu tidak benar, Hannah yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP berkata, penyebaran video dan mesej berniat jahat tersebut turut menjejaskan rayuannya berhubung kes saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Menurut Hannah, beliau menghormati dan mendokong Perlembagaan negara serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang mana terdapat sekatan undang-undang yang jelas terhadap penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam di Malaysia.
Ujarnya, beliau telah mengangkat sumpah jawatan saya serta bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang mana sumpah itu diambil dengan serius dan dipatuhi setiap masa.
“Sepertimana yang telah berlaku berkali-kali dalam kerjaya politik saya, kepercayaan saya sekali lagi dijadikan senjata politik oleh pelampau-pelampau agama di luar sana.
“Saya menyeru semua pihak untuk berdiri teguh membendung percubaan-percubaan ini dan untuk tidak menyebarkan mesej-mesej tersebut apabila mereka melihatnya dalam talian,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.
Hannah sebelum ini gagal dalam saman fitnah terhadap Musa selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tindakan sivil itu dengan kos RM40,000.
Ia berhubung kenyataan Musa pada forum di Universiti Teknologi MARA empat tahun lalu yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai beliau dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.
Mengulas mengenai keputusan mahkamah tersebut, Hannah berkata, peguamnya sudah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan semalam dan memohon rayuan itu didengar dengan kadar segera.
“Saya dinasihatkan oleh peguamcara saya bahawa belum ada alasan penghakiman bertulis penuh yang dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi.
“Setakat ini, hanya terdapat alasan ringkas yang disenaraikan secara bertulis melalui sistem e-review mahkamah pada 23 Disember 2024.
“Oleh itu, adalah tidak wajar pada peringkat ini untuk membuat apa-apa kesimpulan tentang apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi secara keseluruhannya berserta alasan-alasannya,” katanya. – MalaysiaGazette