KUANTAN – Harga kelapa naik sebanyak 20 sen kepada RM3.30 sebiji pada minggu lalu berbanding RM2.10 sebiji sejak November lalu.
Ini merupakan kali kelima kenaikan harga kelapa dalam tempoh kurang dari dua bulan di beberapa buah pasar di daerah Kuantan.
Pemakluman oleh pembekal kelapa kepada peniaga di negeri ini pastinya menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pengguna termasuk para peniaga.
Peniaga santan, Mohd Faisal Norden, 38, berkata, beliau terpaksa menaikkan harga santan sekali lagi bermula esok kerana pembekal menaikan harga kelapa berkuatkuasa hari ini.
”Dia (pembekal) naikkan dekat upah patik, pilih dan caj hantar kelapa.
”Pembekal kami ini bukan sahaja membekal bekalan di Pahang sahaja tetapi di Semenanjung Malaysia jadi kenaikkan harganya pun sama 20 sen sebiji bagi kelapa bulat dan 20 sen sebiji bagi kelapa patik (yang sudah dah siap buang tempurung dan sabut),” katanya.
Menurut Mohd Faisal, beliau sudah mengiklankan kenaikan harga menerusi laman media sosial.
Katanya, mulai esok harga runcit bagi santan pekat ialah RM18 sekilo dan santan cair pula RM10.
Ini berikukan harga yang dikenakan kepada pengedar dan pembekal meningkat dengan ketara menjadikan harga santan begitu ’keras’.
Justeru peniaga santan yang telah berniaga selama empat tahun itu tekejut dengan tekanan harga itu dan berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memainkan peranan sewajarnya.
Beliau berkata, meskipun semakan harga dijalankan setiap hari oleh pegawai KPDN namun tindakan terhadap dalang kenaikan harga bahan makanan itu tidak diambil.
”Tentang harga kelapa dan santan ini biar menteri dan kementerian yang terlibat buat kerja dan ambil tindakan pada isu ini.
”Semakan senarai harga tiap tiap hari ada tetapi penguatkuasa belum lagi, saya cadangkan peringkat pengimport dan pembekal tu yang perlu disiasat dan diaudit.
”Mereka perlu lihat invois dan payment mereka serta permit import yang mereka miliki,” ujarnya.
Mohd Faisal akur kebergantungan peniaga kelapa tempatan kepada pasaran Indonesia memandangkan penanaman kelapa di negeri ini juga berselang musim.
Namun secara logiknya, beliau berkata, peningkatan harga kelapa memberi kesan kepada harga santan dan mereka yang terbabit industri pemakanan seperti peniaga restoran dan pembuat kuih.
Hasil pemerhatian sejak November lalu, harga santan pekat dijual pada RM16 sekilogram, manakala santan biasa berharga RM9 sekilogram di pasaran runcit.
Kelapa parut pula dijual pada harga RM11 sekilogram berbanding RM7 sebelum ini.
”Tentunya permintaan terhadap santan masih ada kerana ia tetap menjadi bahan penting dalam penyediaan masakan. Tapi mahu tidak mahu, mereka tetap beli sebab santan adalah bahan penting dalam masakan walupun harga mahal.
“Kalau harga santan sudah naik, susah untuk turun kembali kecuali ada subsidi daripada kerajaan, seperti subsidi kelapa.Kami bergantung pada pembekal, bila harga modal dah naik, macam mana kita nak turunkan harga?,” soalnya lagi.
Seorang lagi peniaga santan yang hanya mahu dikenali sebagai Aisyah (bukan nama sebenar) berkata, peniaga santan berdepan dengan isu kekurangan kelapa dan perlu mencari bekalan alternatif bagi memastikan bekalan sanatan mencukupi.
Beliau yang enggan mendedahkan lanjut kerana ’takut’ dengan hubungan pengilang goyang yang mengakibatkan bekalan kelapa disekat akur dengan kekerapan kenaikan harga bahan asas itu sejak penghujung tahun ini. – MalaysiaGazette