Pengerusi Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Pusat, Wan Rohimi Wan Daud.

KUALA LUMPUR – Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Pusat menyifatkan Majlis Peguam berat sebelah dan prejudis dalam pendirian berhubung hukuman sebat ke atas pesalah khalwat.

Pengerusinya, Wan Rohimi Wan Daud berkata, selaku badan yang dipertanggungjawab sebagai pemantau rule of law, Majlis Peguam sepatutnya membuat kenyataan berdasarkan kajian akademik dan undang-undang berhubung pelaksanaan hukuman tersebut.

Jelas beliau, Majlis Peguam pasti tahu dan sedar yang mana selama penguatkuasaan hukuman sebatan syariah berlangsung di negara ini, kaedah sebatan syariah yang digunakan ternyata jauh berbeza dengan sebatan sivil.

Sebatan syariah langsung tidak menyebabkan kecederaan berbanding sebatan sivil yang boleh sehingga membawa kematian, katanya.

Selain itu, tambah beliau, rotan yang digunakan dalam sebatan syariah adalah daripada rotan atau ranting kayu yang tidak mempunyai ruas atau buku, dengan panjang tidak melebihi 1.22 meter dan tebal diameter tidak melebihi 1.25 sentimeter.

“Oleh yang demikian, langsung tidak timbul isu bahawa sebatan syariah yang dilaksanakan merupakan satu hukuman yang inherently cruel, inhumane, and degrading berbanding hukuman sebatan sivil yang tidak pernah pula dibantah atau dibentak oleh Majlis Peguam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada 20 November lalu, seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan enam hukuman sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid yang dijadualkan dilaksana hari ini seperti ditetapkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana kesalahan khalwat berulang.

Tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, turut menjadi pesalah khalwat pertama dikenakan empat sebatan secara tertutup di dalam penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengikut enakmen berkenaan pada 19 Februari lalu.

Ekoran itu, Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab menyifatkan hukuman sebat itu menjatuhkan maruah individu dan boleh dilihat sebagai melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan selain  tidak diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].

Kata Mohamad Ezri, walaupun akta membenarkan sebat namun hukuman tersebut tidak menyatakan ia boleh dilakukan secara terbuka.

Tambah Wan Rohimi, hukuman sebatan yang dilaksanakan di khalayak umum adalah prinsip utama kepada hukuman syariah yang bersifat mendidik dengan hadirnya rasa malu kepada pesalah yang telah melakukan kesalahan tidak bermoral.

Dalam masa sama, jelas beliau, hukuman sebatan syariah yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu tersebut adalah hukuman yang dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“LUHAM ingin mengingatkan Majlis Peguam Malaysia supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan tanpa asas yang kukuh, dan menghormati sistem kehakiman syariah di Malaysia.

“Janganlah sehingga rakyat Malaysia berpandangan bahawa Majlis Peguam Malaysia seringkali bersifat berat sebelah dan penuh prejudis, dalam krisis pertembungan antara nilai tempatan dan agama, dengan nilai Barat yang terus-terusan menggila,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast