KUALA LUMPUR – Jenazah dua pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang terlibat kemalangan di Lebuh Raya PLUS berhampiran Jasin, Melaka selamat disemadikan di tanah perkuburan kampung halaman masing-masing malam tadi.
Penolong Pendaftar Kanan UTeM, Mohd Khairulhusaini Mohd Saad berkata, kedua-dua jenazah dibawa pulang dari Hospital Jasin selepas selesai proses bedah siasat.
“Pengurusan penghantaran dan pengkebumian diuruskan sepenuhnya oleh pihak UTeM.
“Nurul Syafiqah Nasruddin dikebumikan di Kampung Ulu Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan selepas waktu Maghrib, manakala Nurhanis Afryna Azizan disemadikan di Felda Selancar 2, Muadzam Shah, Pahang sekitar jam 10 malam,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, proses pengkebumian berjalan lancar seperti dirancang dengan kehadiran keluarga dan saudara mara.
Sebelum ini, dua pelajar tersebut terlibat dalam nahas di Kilometer 187.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pagi semalam yang turut menyebabkan dua lagi pelajar, Nur Hanis Suraya Supiyan dan Azwalidiya Azman, mengalami kecederaan.
“Sebagai tanda penghargaan, UTeM telah menyalurkan sumbangan kepada keluarga mangsa selain memastikan mereka layak menerima pampasan insurans kematian, Tabung Khairat Pelajar UTeM dan bantuan Yayasan Perkasa Siswa KPT,” ujarnya.
Pihak universiti turut menyatakan rasa simpati mendalam atas kehilangan ini dan mendoakan agar keluarga mangsa diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan ini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Dua pelajar UTEM maut, kereta dipandu terbabas di Lebuhraya PLUS