KUALA LUMPUR – Kenaikan tarif elektrik asas kepada 45.62 sen sekilowatt-jam (kWj) jika dilakukan akan membebankan rakyat yang sedang berdepan dengan kos sara hidup tinggi.
Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib menyatakan bantahan tegas terhadap cadangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu yang bermula pada 1 Julai 2025 di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4).
“Walaupun TNB menyatakan kenaikan ini perlu menampung kos operasi serta pembangunan infrastruktur, eputusan tersebut perlu mengambil kira kesan langsung terhadap pengguna terutamanya golongan B40 dan M40.
“Beliau menekankan bahawa kepentingan rakyat tidak boleh diabaikan demi keuntungan korporat semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.
Wakil rakyat Pas itu mahu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam agar meneliti cadangan ini dengan lebih terperinci dan sebarang kenaikan tarif elektrik mesti mempertimbangkan keadaan ekonomi rakyat dan memastikan keseimbangan antara kepentingan TNB dan kemampuan pengguna,.
Jelasnya, peranan TNB sebagai penyedia utiliti utama negara perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan pembangunan sektor tenaga berjalan secara mampan tanpa menambah beban kepada rakyat.
“Rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa kepada kenaikan tarif yang tidak adil.
“Saya akan terus memantau isu ini dan memastikan hak pengguna terjamin serta membawa suara rakyat ke peringkat lebih tinggi bagi memastikan kesejahteraan mereka tidak terjejas oleh keputusan tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette