Lian San didakwa atas dua pertuduhan iaitu miliki video pornografi kanak-kanak dan video lucah di Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki video pornografi kanak-kanak serta video lucah dalam komputernya pada Isnin lalu.

Tertuduh, Koay Lian San, 45, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan pertama, jurutera itu didakwa memiliki video pornografi kanak-kanak di kediamannya di Taman Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini pukul 9.20 malam pada 23 Disember lalu.

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa memiliki video lucah dalam komputer di rumahnya dan kesalahan itu dilakukan di lokasi dan masa yang sama dengan pertuduhan pertama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal serta berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh didenda RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh dalam mitigasi rayuan memohon lelaki itu dikenakan denda minima atas alasan pendapatan bulanan sebagai jurutera berjumlah RM4,500 selain perlu menyara isteri, dua anak serta ibunya.

“Tertuduh juga memohon maaf, insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan jika gagal bayar dipenjara empat bulan manakala denda RM2,000 bagi pertuduhan kedua serta penjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Media sebelum ini melaporkan polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia  melakukan tangkapan ke atas individu yang disyaki memiliki dan mengedar Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak.

Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC yang diketuai Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, dan Kanak-Kanak Bukit Aman (D11) itu membabitkan siri serbuan secara terselaras di enam negeri, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan Perak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here