Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching bercakap ketika sidang media selepas hadir pada Program Ziarah Seni Madani FINAS di Rumah Pangsa DBKL Setapak Jaya, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berhasrat mewajibkan pengusaha makanan dan minuman mendapatkan sijil halal namun menggalakkan dan menyokong usaha golongan untuk memilikinya.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching turut memberi jaminan kerajaan akan menawarkan pelbagai inisiatif berkaitan permohonan lesen halal kerana sijil keluaran Malaysia telah diiktiraf di seluruh dunia.

“Pendirian kerajaan pusat adalah kami tidak mewajibkan tetapi akan terus bagi inisiatif dan pelbagai program untuk membantu mereka yang berminat untuk mendapatkan sijil halal.

“Ini kerana sijil halal mempunyai extra value (nilai tambah) dan Malaysia merupakan halal hub diiktiraf di seluruh dunia dan kita sangat berbangga dengan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan sempena Program Ziarah Seni MADANI@Finas ke kediaman pelawak veteran, Sathiya di Setapak di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Kerajaan Negeri Kelantan yang menetapkan syarat kepada pengusaha premis makanan dan minuman di negeri ini untuk memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebelum menyambung lesen perniagaan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri itu, Mohd. Asri Mat Daud berkata, sebagai permulaan syarat wajib itu dipelopori oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

“PBT lain akan turut sama mempraktikan perkara ini dalam masa terdekat,” katanya yang turut memberitahu sebanyak 453 SPHM dikeluarkan kepada premis perniagaan di negeri ini sejak Januari hingga bulan ini.

Ujarnya, daripada jumlah itu 405 adalah pengusaha beragama Islam, manakala sebanyak 48 adalah premis bukan Islam.

Mengulas lanjut, Nie Ching menambah, pendirian kerajaan untuk tidak mewajibkan sijil halal kerana memahami tidak semua pengusaha berkemampuan membayar kos permohonan lesen halal yang turut melibatkan pelbagai proses saringan ketat sebelum berjaya memperolehnya.

“Antara sebab kerajaan tidak mewajibkan untuk semua (pengusaha makanan dan minuman) kerana faham ia memerlukan satu prosedur yang ketat termasuk melibatkan kos, jadi bukan semua yang mampu.

“Jadi saya rasa ini (sama ada nak mohon sijil halal) terpulang kepada operator (pengusaha makanan dan minuman),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast