Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap adiknya termasuk mahu menghempas anak saudaranya berusia 25 hari ke lantai, Rabu lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret, Chia Huey Ting selepas tertuduh, Muhammad Mahathir Zala-Udin, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap adiknya Muhamad Shafik, 27, dengan mengatakan mahu menikam bapa mereka menggunakan pisau dan mahu menghempas anak perempuannya berusia 25 hari ke lantai dengan niat hendak menyebabkan kegentaran serta ketakutan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Kampung Masjid Teluk Kumbar, Bayan Lepas dekat sini, jam 4.10 petang pada 25 Disember lalu.

Dengan itu tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, berlaku pertengkaran mulut antara tertuduh dengan adiknya disebabkan kipas angin rosak ketika mereka berada di kediaman di Kampung Masjid Teluk Kumbar di sini.

Pengadu yang juga pekerja sebuah kilang itu diugut oleh tertuduh mahu menghempas anaknya ke lantai selain dia meludah ke muka bapa mereka serta mengugut mahu menikam warga emas itu.

Pendakwaan bagi kes itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding Lushani meminta mahkamah menawarkan hukuman setimpal terhadap tertuduh namun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon lelaki itu dikenakan hukuman penjara yang minima susulan tidak mempunyai wang untuk membayar denda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here