Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Pihak kerajaan, Lembaga Lebuh Raya Malaysia serta Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) digesa untuk memasang lampu di kawasan gelap.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kawasan gelap menjadi antara punca kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan.

Katanya, tragedi kemalangan membabitkan lima kenderaan dan mengorbankan tujuh nyawa termasuk lima sekeluarga di kawasan gelap di lebuh raya PLUS bukan kali pertama berlaku.

“Sebab apa, antara faktor utama ialah apabila keadaan lebuh raya itu sangat gelap, tidak ada lampu langsung. Bila gelap dan ada barang di atas, tayar atau apa sahaja, pengguna jalan raya seperti kereta, motor, lori tak boleh mengelak. Jadi inilah yang menyebabkan kemalangan

“Kita nak minta kepada kerajaan Malaysia, Lembaga Lebuh Raya Malaysia dan PLUS tolong tengok lebuh raya yang gelap,” katanya.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, pengguna berhak meminta pengendali lebuh raya memasang lampu kerana mereka membayar tol untuk menggunakan kemudahan tersebut.

Tambah beliau, sekiranya jalan kampung boleh dipasang dan diterangi cahaya lampu ketika malam sudah pasti jalan berbayar seperti lebuh raya juga memerlukan lampu jalan.

“Jalan-jalan kampung yang tidak berbayar itu pun kita boleh letakkan lampu, takkanlah jalan tol yang berbayar, pengguna bayar duit sendiri, tak boleh sediakan lampu di tempat yang gelap begini.

“Jadi saya mohon sangat, biarlah apa yang telah berlaku berlalu, kita ucapkan takziah,tapi kita tak nak lagi perkara ini berlaku lagi pada masa depan. Saya desak kerajaan lihat perkara ini, LLM tengok perkara ini dan PLUS tengok perkara ini

“Ini demi keselamatan pengguna lebuh raya, kita bayar jadi kita ada hak untuk dapatkan perkhidmatan yang terbaik,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu.

Dalam kejadian 23 Disember lalu, tujuh orang termasuk kanak-kanak berusia dua tahun, maut dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Alor Gajah, Melaka.

Kemalangan yang membabitkan sebuah bas ekspres, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza itu turut menyebabkan 33 yang lain cedera.

Lima daripada mereka yang maut terdiri daripada satu keluarga yang menaiki Toyota Estima.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here