KUALA LUMPUR – Pulau Pinang, Perak, Labuan, Kelantan dan Perlis mencatatkan pertumbuhan positif dalam jumlah perdagangan pada bulan November 2024.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah perdagangan negara pada bulan tersebut mencecah RM237.8 bilion dengan eksport bernilai RM126.6 bilion dan import sebanyak RM111.3 bilion.
“Eksport menunjukkan peningkatan sebanyak 4.1% atau RM5.0 bilion berbanding November tahun lalu.
“Pulau Pinang terus menjadi penyumbang utama eksport negara dengan nilai RM46.7 billion bersamaan 36.4% daripada keseluruhan eksport, manakala negeri lain yang mencatat peningkatan eksport termasuk Perak (+RM313 juta), W.P. Labuan (+RM258.8 juta), Selangor (+RM46.8 juta), Melaka (+RM18.0 juta), dan Perlis (+RM36 juta),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, beberapa negeri lain merekodkan penurunan eksport iaitu W.P. Kuala Lumpur (-RM2.0 bilion), Johor (-RM1.3 bilion), dan Kedah (-RM1.0 bilion), manakala negeri-negeri lain seperti Sabah, Terengganu, Pahang, dan Negeri Sembilan turut mengalami penurunan nilai eksport.
Jelas beliau, import pula menunjukkan peningkatan sebanyak 1.6% atau RM1.8 bilion dicatatkan berbanding bulan yang sama pada 2023 dan Selangor kekal mendominasi dengan sumbangan 25.8%, diikuti Pulau Pinang (24.7%), Johor (20.5%) dan Kedah (5.7%).
“Pulau Pinang mencatat peningkatan import sebanyak RM5.4 bilion, disusuli Johor (+RM499.2 juta), W.P. Labuan (+RM232.1 juta), dan Kelantan (+RM57.4 juta).
“Bagaimanapun, import menurun di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan (-RM1.3 bilion), W.P. Kuala Lumpur (-RM1.1 bilion), Melaka (-RM746.4 juta), Pahang (-RM706.6 juta), Sarawak (-RM625.8 juta), Perak (-RM354.1 juta) dan Sabah (-RM232.3 juba),” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melancarkan platform ‘OpenDOSM NexGen’ untuk memudahkan pengguna mengakses dan menganalisis data statistik secara dalam talian.
Portal ini boleh diakses di (https://open.dosm.gov.my.) – MalaysiaGazette