KUALA KUMPUR – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) meminta negeri-negeri lain mencontohi Terengganu dalam melaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah syariah.
Menurut PPMM, hukuman yang dilaksanakan oleh Terengganu bukan sahaja menjunjung hukuman syariah tetapi juga dapat membuka mata masyarakat.
“PPMM juga menyeru agar Mahkamah Syariah di negeri-negeri lain turut menyahut tindakan pelaksanaan hukuman sebat yang dilaksanakan di negeri Terengganu agar perkara ini dapat membuka mata masyarakat, mengarus perdanakan syariah dan menjunjung hukum syarak,” katanya.
Sementara itu PPMM turut meminta agar tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan untuk mengelirukan masyarakat susulan hukuman sebat dilaksanakan ke atas seorang pesalah syariah yang melakukan kesalahan berulang hari ini.
Katanya, pihak terbabit tidak seharusnya mempolitikkan pelaksanaan hukuman berkenaan tanpa memahami konteks undang-undang.
“PPMM menyeru semua pihak, untuk tidak mengelirukan masyarakat, mempolitikkan isu ini dan memahami konteks sebenar pelaksanaan hukuman sebatan syariah.
“Sistem perundangan syariah adalah sebahagian daripada sistem undang-undang negara yang sah, dan pelaksanaannya tidak boleh dilihat melalui perspektif sempit atau prejudis,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, dakwaan kononnya hukuman sebatan bertentangan dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah satu kenyataan yang khilaf dan salah.
Peruntukan di dalam Akta 355 adalah mengenai had hukuman bagi kesalahan jenayah syariah yang memperuntukkan tidak boleh melebihi 3 tahun penjara, RM5,000.00 atau 6 kali sebatan sahaja.
Manakala tempat hukuman sebat perlu dirujuk di dalam prosedur operasi standard dan Enakmen Negeri masing-masing.
Duda anak lima yang menjadi individu pertama dihukum sebat khalayak ramai di dalam masjid atas kesalahan khalwat berulang di Masjid Al Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, hari ini.
Mohd. Affendi Awang, 42, menjalani hukuman sebat sebanyak enam kali di hadapan Timbalan Pengarah Penjara Marang, Mohd. Irwan Awang.
Tukang rumah yang memakai pakaian lokap berwarna merah dan memakai pelitup muka reda sewaktu menerima enam sebatan tersebut yang mengambil masa kira-kira dua minit.
Terdahulu, Mohd. Affendi dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya oleh Hakim Kanan Syarie, Kamalruazmi Ismail atas kesalahan berkhalwat buat kali ketiga di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu. – MalaysiaGazette