Shandrsegar.

GEORGE TOWN – Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Malaysia (PKMM) menggesa kerajaan menggubal undang-undang yang lebih ketat bagi menangani penyebaran kandungan lucah di platform media sosial.

Timbalan Pengerusi PKMM, P. Shandrsegar berkata, pengaruh kandungan lucah dan iklan tidak bermoral di media sosial kini semakin membimbangkan kerana ia sukar untuk disekat sekali gus memberi kesan buruk terhadap generasi muda.

“Media sosial merupakan platform utama yang kini digunakan oleh anak-anak muda termasuk kanak-kanak. Oleh itu, bahan lucah serta iklan seksual amat berbahaya kerana ia memberi impak negatif terhadap perkembangan mental dan moral mereka.

“Sehubungan itu, tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa dari segi memperketatkan undang-undang.

“Manakala pengendali platform media sosial turut perlu memainkan peranan untuk menangani isu ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut beliau turut mencadangkan agar satu sistem pelaporan yang lebih mudah dan efisien diwujudkan bagi memudahkan orang ramai, terutamanya ibu bapa dan pendidik untuk melaporkan kandungan yang melanggar etika dan norma sosial.

“Kita percaya dengan tindakan yang lebih tegas dan sistem pelaporan lebih baik, penyebaran kandungan tidak senonoh dapat dibendung secara lebih berkesan, seterusnya memastikan media sosial kekal sebagai ruang yang selamat dan positif bagi generasi muda.

Dalam perkembangan sama, Shandrsegar turut mengingatkan ibu bapa agar lebih proaktif dalam memantau penggunaan media sosial anak-anak mereka, bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada kandungan yang merosakkan.

Media sebelum ini melaporkan polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melakukan tangkapan ke atas individu yang disyaki memiliki dan mengedar Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM).

‘Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC’ yang diketuai Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, dan Kanak-Kanak Bukit Aman (D11) itu membabitkan siri serbuan secara terselaras di enam negeri, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan Perak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here