SERDANG – Pelbagai barang rampasan am dan kontraban hasil serbuan polis di sini bagi tempoh sejak dari 2016 hingga 2023 dianggarkan bernilai RM1.8 juta dilupuskan hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kesemua barang kes terbabit dilupuskan selepas 336 kertas siasatan selesai perbicaraan dan mendapat arahan dari mahkamah.
“Hari ini, kita melupuskan lebih 353,400 unit barangan rampasan membabitkan lapan buah kereta, (352,515) kotak rokok, (168) laptop, (59) tablet, (32) modem dan router serta (14) mesin simulator.
“Ia termasuk lain-lain barangan yang telah mendapat arahan pelupusan dari mahkamah dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.8 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes yang turut dihadiri Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Noor Ruzilawati Mohd Nor di sini hari ini.
Tambah Anbalagan, pelupusan barangan kes itu dilaksanakan mengikut arahan di bawah Akta 407(A) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) serta Mengikut Kaedah dan Peraturan Tetap Ketua Polis negara (PTPKN D207).
“Apabila mahkamah memutuskan suatu kes itu telah selesai dan barang-barang tersebut sudah tentu lebih banyak dan tempat di stor simpanan menjadi penuh.
“Jadi pelupusan ini membolehkan dapat mengurangkan ruangan bagi meletakkan barangan kes lain kerana barangan kontraban (rokok dan arak) dirampas selalunya akan penuh di stor.
“Proses pelupusan ini juga adalah langkah akhir dalam memastikan barang-barang yang dirampas tidak lagi memberi kesan negatif kepada masyarakat atau disalahgunakan,” jelasnya.
Tegas beliau, sebagai agensi penguat kuasa adalah menjadi tanggungjawab bagi memastikan setiap barang kes dikendalikan dengan amanhah, telus dan mengikut peraturan. – MalaysiaGazette