Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Akibat merompak dua wanita warganegara Indonesia dengan menyamar sebagai anggota polis, seorang penganggur dipenjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Egusra Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Khairee Mat Yasin, 35, selepas lelaki tersebut mengaku bersalah atas kedua-kedua pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan dikuatkuasakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merompak dua telefon bimbit, sebuah tablet pintar dan wang tunai RM270 milik Anis Md. Mollah di kawasan industri di Jalan Kepong di sini pukul 9.20 pagi pada 20 Oktober lalu.

Sementara bagi satu lagi pertuduhan, Mohd. Khairee mengaku merompak seorang lagi warga Indonesia, Ijum Sholehah dan mengambil sebuah telefon bimbit, satu tiket penerbangan ke Indonesia, satu pasport negara itu dan wang tunai RM600 di sebuah premis di Jalan Segambut di sini pukul 10.30 pagi pada 5 November lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran atas alasan tertuduh menyamar sebagai anggota polis ketika merompak kedua-dua mangsa.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman rendah atas alasan dia mempunyai tanggungan keluarga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here