KUALA LUMPUR – Serbuk kayu dan pembinaan ban tanah digunakan bagi mengatasi tumpahan minyak susulan kebocoran lori tangki minyak kelapa sawit akibat kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Karak kelmarin.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Pahang, Jamaliah Jamaluddin berkata, konsesi lebuh raya, AFA PRIME Berhad telah melaksanakan tindakan segera dengan menggunakan serbuk kayu bagi menyerap tumpahan serta membina ban tanah di longkang bagi menghalang minyak daripada terus mengalir ke kawasan lain.
“Pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga turut tiba di lokasi menjalankan pemeriksaan dan mendapati sekitar 20 tan minyak telah tumpah, mencemari kawasan sepanjang 150 meter.
“Tumpahan ini turut memasuki kebuk takungan lebuh raya sebelum mengalir ke anak Sungai Gombak, menjejaskan bekalan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gombak sehingga jam 6 petang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Jamaliah, LUAS menyelaras kerja-kerja pembersihan bersama kontraktor yang dilantik dan usaha ini melibatkan penyodokan minyak beku dari longkang dan kebuk takungan serta pemasangan tiga unit oil boom di anak Sungai Gombak untuk menghalang minyak terus memasuki sungai utama.
Jelasnya, sebanyak 10 beg karbon teraktif turut digunakan untuk menghilangkan bau minyak di kawasan terjejas dan empat lori tangki sedut milik Indah Water Konsortium (IWK) dikerahkan untuk menyedut sisa minyak manakala kerja pembersihan manual dijalankan bagi mempercepatkan proses.
“Keadaan terkini adalah terkawal dengan pemantauan rapi dilakukan di lokasi dan kerjasama pelbagai pihak diharapkan dapat meminimumkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar dan bekalan air,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: