Angin kencang dan laut bergelora di sekitar perairan negara dijangka berlaku bermula esok. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Angin kencang dan laut bergelora di sekitar perairan negara dijangka berlaku bermula esok hingga 31 Disember ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang mengeluarkan amaran itu memaklumkan, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dengan ombak hingga 3.5 meter dijangka melanda kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, kenaikan paras air laut turut diramalkan berlaku di kawasan perairan berkenaan bermula Ahad hingga Isnin dengan risiko limpahan air laut di pesisir pantai.

Menurut METMalaysia, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter turut dijangka membadai kawasan perairan selatan Samui, Tioman, selatan Bunguran, tenggara Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Palawan hingga Selasa.

Di kawasan perairan Condore dan barat laut Reef North, angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga dengan kelajuan melebihi 60 km/j dan ombak lebih 4.5 meter dijangka berlaku hingga Selasa.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” tambahnya.

Amaran kategori kedua pula dikeluarkan bagi kawasan perairan utara Bunguran serta timur laut dan barat daya Reef North dengan angin kencang berkelajuan 50 hingga 60 km/j dan ombak hingga 4.5 meter.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” tegasnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here