DUBAI – Legenda Manchester United, Cristiano Ronaldo menyifatkan bekas pasukannya dalam keadaan ‘sakit’ sambil menegaskan pengendali, Ruben Amorim tidak wajar dipersalahkan atas isu semasa yang berlaku di Old Trafford.
Ronaldo menegaskan rombakan yang ketara sangat diperlukan untuk melihat kelab itu kembali ke zaman kegemilangannya.
Ini kerana kata penyerang terbaik Al-Nassr, Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah liga paling sukar di dunia kerana memilik kelab yang bagus dan berkualiti.
“Masalah sebenar bukanlah ketua jurulatih atau pengurus dan contoh terdahulu yang saya sering gunakan iaitu pasukan United adalah seperti akuarium.”
“Jika kamu membela ikan di dalamnya dan ia berada dalam keadaan sakit. Lantaran itu, kamu keluarkan ia dan masalah kamu pun selesai. Selepas beberapa ketika, kamu masukkan semula ikan tersebut ke dalam akuarium. Jadi, sudah tentu ikan tersebut akan sakit semula.”
“Masalah di United adalah sama. Masalahnya bukan terletak pada pengurus atau ketua jurulatih tetapi, ia lebih daripada itu,” katanya selepa Anugerah Bola Sepak Dubai yang berlangsung di Atlantis, The Palm, semalam.
Pada majlis itu, dia memenangi anugerah Pemain Timur Tengah Terbaik.
Sementara itu, Ronaldo berkata dia mungkin akan kembali ke Old Trafford buat kali ketiga tetapi kali ini sebagai pemilik United.Ronaldo, 39, mendakwa dia mampu memperbaiki bekas kelab yang disayanginya dan sedar Amorim mula merasai tekanan selepas United tergelincir ke tangga ke-14 liga apabila tewas 2-0 di Wolves.
Ronaldo berkata dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk membangkitkan bekas kelabnya itu. – Agensi