Perbualan antara Akmal dengan individu yang mahu mendapatkan rawatan di kliniknya, namun tidak cukup wang.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempelawa penduduk di dalam kawasannya dan sekitar yang menghadapi masalah kesihatan supaya datang ke klinik beliau untuk mendapatkan rawatan meskipun tidak mempunyai cukup wang.

Menzahirkan rasa simpati Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau tidak mahu hanya disebabkan kerana kekangan kewangan mereka tidak mendapatkan rawatan yang akhirnya memudaratkan diri mereka sendiri.

“Kepada semua warga DUN Merlimau dan sekitarnya, jangan disebabkan kekangan kewangan anda biarkan masalah kesihatan semakin teruk.

“Sekali lagi saya nak maklumkan, untuk klinik Dr Akmal Saleh, kalau dtia duit, boleh hutang pun tak mengapa. Kalau segan nak berhutang maklum pada saya, saya bagi percuma pon boleh.

“Kerana saya pernah berada di dalam keadaan anda semasa dahulu dan kini beri saya peluang untuk berkongsi rezeki dan kasih sayang Bersama. Yang penting kesihatan anda terjaga, anak kampung untuk orang kampung,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Dr Muhamad Akmal turut memuat naik sekeping gambar dan perbualannya dengan seseorang yang mahu mendapatkan rawatan di kliniknya namun, tidak cukup wang untuk membayar kos rawatan.

Menurut individu itu, dia mengalami masalah apabila kedua-dua belah tangannya tidak boleh diangkat hingga menyebabkan dia mengalami kesakitan.

Individu itu meminta untuk mendapatkan rawatan di kliniknya, namun tidak punya wang dan hanya akan menerima gaji pada 30 haribulan.

“Nanti saya bayar duit yang check (pemeriksaan fizikal) sekarang. Boleh ke?” kata individu berkenaan.

Dr Muhammad Akmal kemudiannya membalas hantaran perbualan itu menerusi apliksi Whatsapp dengan mengatakan, “boleh jer, datanglah”. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast