KUALA LUMPUR – Ratu Rock, Ella kini mencuba perkara baru dengan menceburkan diri dalam bidang fesyen Muslimah.
Mewujudkan jenama pakaiannya sendiri iaitu RockQueen, Ella atau Nor Zila Aminuddin, 57, berkata perniagaan tersebut sebenarnya sudah bermula sejak tiga tahun lalu.
“RockQueen bukan sekadar jenama, ia adalah satu pernyataan. Ia mengenai memperkasakan wanita untuk yakin, kuat dan menjadi diri mereka tanpa ragu-ragu. Kami menjenamakan semula maksud kesopanan tanpa mengabaikan gaya,” katanya.
Ella berkata demikian ketika majlis pelancaran RockQueen di ibu negara, baru-baru ini.
Jelasnya, semua pakaian di bawah jenama itu direka berdasarkan keselesaan untuk muslimah namun masih kekal bergaya secara bersederhana.
“Jenama ini mengikut cita rasa dan keselesaan saya, tapi dalam masa sama, sopan. Walaupun menutup aurat tetap bergaya. Ada juga stail yang diilhamkan ketika saya berkunjung ke Tanah Suci,” tambahnya.
Sementara itu, Ella merancang untuk tampil dengan konsert solo, tahun depan.
“Insya-Allah, kami tengah merancang untuk konsert dan kali ini, sangat berbeza. Sekiranya tiada aral melintang, mungkin akan ada album juga dihasilkan, insya-Allah,” katanya lagi.-MalaysiaGazette