Heroin base seberat 13.3 kilogram bernilai RM1.2 juta dirampas menerusi dua serbuan yang dilakukan di Selangor.

KUALA LUMPUR – Polis merampas dadah jenis heroin base seberat 13.3 kilogram dianggarkan bernilai RM1.2 juta hasil menerusi dua serbuan yang dilakukan di Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun di Bukit Gasing dekat Petaling Jaya.

Katanya, serbuan itu dilakukan pada pukul 5.30 petang 23 Disember lalu.

“Pemeriksaan dijalankan dalam kenderaan dan menjumpai 20 ketulan mampat disyaki dadah jenis heroin base yang dianggarkan seberat 7.4 kilogram.

“Susulan tangkapan itu, polis melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah di Puchong semalam kira-kira pukul 9.30 pagi.

“Hasilnya 16 lagi ketulan mampat heroin base seberat 5.9 kilogram ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kok Chin berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 13.3 kilogram bernilai RM1.2 juta dan boleh digunakan oleh seramai 900,000 orang penagih dadah.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah beliau, saringan awal ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan kini ditahan reman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula 24 hingga 30 Disember ini.

Beliau turut memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan, akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas.

“JSJN sentiasa komited untuk membanteras pengedaran dadah dengan lebih agresif bagi memastikan masyarakat malaysia bebas dari ancaman musuh nombor satu negara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah agar menyalurkan maklumat mengenainya melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here