KUALA LUMPUR – Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap kezaliman dan kekejaman Israel di Gaza terbaharu dengan membakar Hospital Kamal Adwan iaitu satu-satunya pusat perubatan yang masih berfungsi sebelum ini.
Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mengutuk sekeras -kerasnya dan melahirkan rasa dukacita terhadap kemusnahan Hospital Kamal Adwan.
Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar berkata, serangan terhadap hospital terbabit bukan insiden terpencil tetapi sebahagian daripada kempen sistematik yang menyasarkan rakyat Palestin, infrastruktur dan hak mereka untuk hidup.
Serangan berkenaan merupakan jenayah terhadap kemanusiaan kerana hospital dan kemudahan kemanusiaan yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan kini bertukar menjadi lokasi keganasan dan kehancuran.
“Ini bukan sekadar serangan terhadap Gaza atau hospitalnya—ini adalah serangan terhadap kemanusiaan itu sendiri. Komuniti antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri dalam menghadapi pencabulan terang-terangan terhadap nyawa manusia dan norma antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
MAHAR menyeru dengan tegas kepada kerajaan Malaysia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa untuk menuntut kebertanggungjawaban terhadap jenayah perang yang dilakukan Israel di Gaza.
Mengambil langkah segera untuk menghentikan pendudukan dan pencerobohan Israel, memastikan perlindungan terhadap orang awam, khususnya kanak-kanak, wanita dan mereka yang cedera.
Bantuan kemanusiaan segera dan membina semula infrastruktur kritikal seperti hospital perlu dilakukan dengan segera/
“Kompromi kuasa-kuasa besar dunia yang terus membolehkan kekejaman ini juga mesti ditangani. Bersama-sama, kita mesti memperkuat suara kita menentang kempen penindasan ini dan mempertahankan prinsip maruah dan keadilan manusia,” kata Nurul Izzah.
Sementara itu Presiden Presiden MAHAR, Jismi Johari menggesa kerajaan, organisasi kemanusiaan dan individu di seluruh dunia untuk bersatu mengecam kekejaman yang dilakukan Israel.
Mereka juga perlu bertindak segera untuk melindungi nyawa orang awam serta menegakkan keadilan.
Serangan Israel ke atas Hospital Kamal Adwan mengorbankan lebih daripada lima puluh nyawa tidak bersalah termasuk pesakit, kakitangan perubatan dan orang awam yang mencari perlindungan.
Nasib ketua pengarah hospital itu, Hussam Abu Safiya masih belum diketahui dan ada laporan menyebut beliau diculik.
Israel sehingga kini telah membunuh lebih 45,000 penduduk Gaza dalam serangan yang berlarutan lebih setahun.-MalaysiaGazette