Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan hukuman sebatan syariah bagi pesalah khalwat berulang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang dekat Terenganu semalam bukan bertujuan untuk menghukum semata-mata.

Tetapi ia juga sebagai satu bentuk pendidikan, pengajaran, dan pencegahan kepada masyarakat agar lebih dekat dengan nilai-nilai Islam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hukuman itu diharapkan akan menjadi contoh pelaksanaan syariah yang membawa rahmat kepada seluruh rakyat.

“Alhamdulillah…kita menyaksikan satu lagi langkah penting dalam melaksanakan hukum syariah di negeri ini (Terengganu).

“Saya mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan ini termasuk Mahkamah Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengurusan masjid, Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) serta pegawai penguat kuasa.

“Kecekapan dan kesungguhan mereka memastikan bahawa proses ini dilaksanakan dengan telus, adil dan penuh hikmah.

“Semoga usaha ini (hukuman sebatan) menjadi contoh pelaksanaan syariah yang membawa rahmat kepada seluruh rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, Terengganu kekal komited menjunjung amanah tersebut dengan memastikan segala yang dilakukan selaras dengan syariat Allah dan undang-undang negara.

Semalam, seorang duda menjadi lelaki pertama dijatuhi hukuman enam sebatan di hadapan khalayak ramai.

Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 November lepas setelah lelaki itu mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here