KUALA LUMPUR – Perdana Menteri sudah menegaskan sebarang perbincangan berkaitan isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak adalah subjudis tetapi kenapa Jabatan Peguam Negara (AGC) pula mengeluarkan kenyataan secara tiba-tiba hari ini.
Itu persoalan dibangkitkan Pegawai Strategi Nasional MIC Kebangsaan, Datuk R Thinalan ekoran AGC memberi kenyataan mengenai proses pengampunan, tahanan rumah atau pengurangan hukuman dengan menekankan kepentingan melalui saluran yang betul.
“Pengumuman ini pula dibuat hanya beberapa hari sebelum prosiding mahkamah pada 6 Januari 2025 berhubung penambahan dokumen kes berkaitan.
“Kalau sudah kata subjudis, mengapa pula AGC keluarkan kenyataan dalam isu ini?
“Situasi ini menimbulkan persoalan penting mengenai penerapan prinsip subjudis yang dilihat selektif serta implikasinya terhadap kebebasan kehakiman dan persepsi awam,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.
Kata Thinalan lagi, kenyataan bertentangan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan AGC memberi gambaran seolah-olah terdapat kekeliruan dalam pelaksanaan prinsip tersebut.
Beliau mengulas kenyataan dikeluarkan AGC menyatakan Najib yang juga bekas Perdana Menteri perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
Kata AGC, keputusan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong itu akan dibuat berdasarkan tatacara dan saluran yang sudah ditetapkan mengikut undang-undang dan Perlembagaan, bukannya mana-mana saluran lain.
Pada 10 Disember lalu, Anwar ketika berucap di Parlimen mengesahkan mengemukakan isu titah adendum ke atas Najib untuk dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan. -MalaysiaGazette