Ketua Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), N. Balasubramaniam.

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menguatkuasakan pensijilan halal ke atas semua premis makanan dan minuman di Kelantan masih di peringkat awal dan memerlukan penelitian yang menyeluruh.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), N. Balasubramaniam berkata, cadangan itu juga memerlukan rundingan dan penjelasan terperinci sebelum sebarang keputusan atau pelaksanaan dimuktamadkan.

Jelas beliau, Pas tetap komited terhadap kepimpinan inklusif yang mengutamakan keadilan, saling menghormati dan kebajikan semua komuniti.

“Saya menyeru orang ramai khususnya rakyat berbilang kaum di Kelantan dan Malaysia secara amnya, agar tidak membuat kesimpulan atau bertindak secara tergesa-gesa mengenai perkara ini,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Negeri Kelantan mensyaratkan pemilik dan pengusaha premis berasaskan makanan serta minuman memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.

Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, setakat ini pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mewajibkan perkara tersebut.

Bagaimanapun, cadangan itu menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak yang menggesa Kerajaan Negeri Kelantan memberi masa kepada peniaga untuk berbuat demikian selain memastikan ia tidak membebankan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Sementara itu, Balasubramaniam menyifatkan langkah diperkenalkan Kerajaan Negeri Kelantan tersebut bukan bertujuan mewujudkan perpecahan, sebaliknya untuk memupuk kefahaman yang lebih mendalam dan penghormatan bersama dalam kalangan masyarakat berbilang latar belakang di negeri tersebut.

Malah, di negeri itu juga, jelasnya, tiada isu orang bukan Islam berasa “rigid” dengan sijil halal; sebaliknya mereka boleh menerimanya sebagai sebahagian daripada usaha hidup harmoni dalam masyarakat berbilang kaum.

Sehubungan itu, ujarnya, DHPP akan bekerjasama rapat dengan kepimpinan Pas dan pihak berkepentingan bagi memastikan perkara itu ditangani dengan cara yang mengukuhkan keharmonian dan perpaduan negara.

“Kami memohon kerjasama dan pemahaman orang ramai dalam usaha mencari penyelesaian inklusif yang mencerminkan nilai dan aspirasi semua rakyat Malaysia.

“Bersama-sama, marilah kita memelihara keamanan dan keharmonian yang menjadi asas negara kita,” katanya.

Untuk rekod, sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak 453 premis makanan di Kelantan telah mendapat sijil halal yang mana 198 daripadanya merupakan premis makanan di Kota Bharu, manakala 255 lagi di kawasan lain.

Hampir 80 peratus daripada perniagaan itu dimiliki oleh orang Islam, manakala selebihnya dimiliki bukan Islam.

Bagi restoran yang merupakan khas untuk masyarakat bukan Islam yang menjual makanan tidak halal, tidak diwajibkan untuk memohon sijil halal kerana mereka tidak menyasarkan pelanggan Muslim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here