KUALA LUMPUR – Kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung proses pengampunan dan pengurangan hukuman yang perlu dibuat menerusi Lembaga Pengampunan hari ini disifatkan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, antaranya adalah sama ada kenyataan media itu dikeluarkan susulan mana-mana permohonan pengampunan terkini yang dibuat oleh atau bagi pihak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Jelas beliau, rakyat perlu dimaklumkan sekiranya terdapat permohonan pengampunan yang berbeza dengan permohonan pengampunan pada 2 September 2022 yang menjadi titik-tolak kepada isu titah pengurangan hukuman ke atas Najib pada 29 Januari 2024 serta isu kontroversi titah adendum bertarikh sama.
Tambah beliau, sekiranya terdapat permohonan pengampunan lanjutan juga, AGC perlu memaklumkan pihak yang telah membuat permohonan terbabit serta saluran yang digunakan.
“Adakah kerana saluran itu salah, maka kenyataan media dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara?
“Perkara ini perlu diperjelaskan, perlu dihuraikan bukan buat satu kenyataan yang menimbulkan lebih banyak persoalan,” katanya menerusi kenyataan secara video yang dimuat naik ke laman sosial hari ini.
Menurut Mohamed Haniff Khatri, sekiranya tidak ada permohonan pengampunan lanjutan dibuat oleh atau bagi pihak Najib maka rakyat berhak untuk membuat kesimpulan kenyataan media tersebut adalah bersabit dengan isu kontroversi titah adendum melibatkan Najib.
Sedangkan, jelas beliau, umum mengetahui isu titah adendum itu kini berada di peringkat mahkamah dan ditetapkan serta dijadualkan untuk bersidang semula pada 6 Januari depan.
“Jika tidak ada apa-apa permohonan lanjut yang dibuat oleh Najib melalui dirinya atau peguamnya atau mana-mana pihak lain baru-baru ini, maka saya khuatir kenyataan media ini adalah satu campur tangan salah dalam isu yang jadi menjadi pertikaian di Mahkamah Rayuan seminggu lagi.
“Jika itu adalah apa yang dihasratkan, maka pihak Jabatan Peguam Negara adalah terdedah kepada mana-mana tindakan atau permohonan pengkomitan atas penghinaan mahkamah kerana mencampuri isu yang berada dalam pertikaian mahkamah iaitu subjudis,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Haniff Khatri turut mengingatkan yang mana pihak Jabatan Peguam Negara juga terbabit dalam proses rayuan titah adendum.
Sehubungan itu, jelasnya, melainkan terdapat permohonan pengampunan terkini daripada Najib, maka kenyataan media hari itu boleh mendedahkan Jabatan Peguam Negara dan pihak yang mengeluarkan kenyataan itu kepada tindakan menghina mahkamah.
“Jadi, saya harap demi kesejahteraan negara, demi kemartabatan Jabatan Peguam Negara dan menurut konsep kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan, Jabatan Peguam Negara perlu mengeluarkan kenyataan yang lengkap dan jelas berkaitan perkara ini.
“Jangan sekerat-sekerat sehingga ia boleh menimbulkan kekeliruan, kecelaruan dan pelbagai persoalan yang lebih lanjut,” katanya.
Menerusi kenyataan media hari ini, Jabatan Peguam Negara menyatakan Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
Jabatan itu memaklumkan, keputusan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong itu akan dibuat berdasarkan tatacara dan saluran yang sudah ditetapkan mengikut undang-undang dan Perlembagaan, bukannya mana-mana saluran lain. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Permohonan tahanan di rumah perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan