gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang kontraktor pembinaan mengalami kerugian RM107,000 selepas diperdaya dengan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan menerima panggilan pada 11 Disember lalu daripada seorang lelaki yang tidak dikenali bernama Li Jiaqi.

Katanya, suspek memberitahu mangsa bahawa dia sedang mencari pekerja sambilan untuk perniagaan jualan atas talian tanpa memerlukan modal, dengan janji menawarkan keuntungan yang besar.

Mangsa kemudian bersetuju dan memuat turun aplikasi jualan atas talian bagi menerima tempahan kerja yang ditawarkan.

“Mangsa dikatakan menerima dua tempahan kerja iaitu kerja pembekalan topeng muka bernilai AS$28,000 dan tempahan kedua bernilai AS$504.000.

“Bagaimanapun pengadu diminta untuk membuat bayaran terlebih dahulu sebelum kontrak tempahan  tersebut diluluskan dan dijanjikan keuntungan berjumlah AS$3,054 serta tempahan-tempahan lain,” jelasnya.

Menurut beliau, mangsa mula membuat empat transaksi menggunakan wang simpanannya ke beberapa akaun bank yang diberikan oleh suspek dan turut diminta membuat pembayaran tambahan sebanyak AS$40,000 bagi mengeluarkan keuntungan.

“Menyedari dirinya ditipu, mangsa segera membuat laporan polis.

“Hasil semakan mendapati dua daripada empat akaun bank berkenaan mempunyai satu laporan polis berkaitan kes penipuan dalam talian,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dijatuhi hukuman penjara hingga sepuluh tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja yang menjanjikan pulangan wang yang tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here