Logo halal JAKIM.

KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) membantah keputusan kerajaan negeri Kelantan yang mewajibkan pensijilan halal di kalangan pengusaha makanan dan minuman (F&B) di negeri itu.

Presidennya, Datuk William Ng berkata ia akan meningkatkan beban dan kos tambahan kepada perniagaan, terutamanya kepada PKS dan peniaga kecil.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng.

“Pensijilan halal bukan sekadar berkisar tentang makanan tak halal, tetapi juga memerlukan dokumentasi yang pelbagai daripada pemohon. Kami faham akan tuntutan ketat di atas keperluan yang merangkumi premis perniagaan, proses, pembekal, pembungkusan dan pelabelan, pengangkutan, dan lain-lain.

“Semua ini menambah kos dan keperluan masa yang besar kepada perniagaan. Para pengusaha F&B juga dikehendaki untuk memberikan latihan berkala kepada pekerja, yang akan memerlukan peruntukan masa dan juga latihan berterusan apabila berlakunya pertukaran kakitangan,” katanya menerusi kenyataan.

Mengaku bahawa pensijilan halal dapat mempromosikan keselamatan dan kebolehkesanan makanan, namun jelasnya kos mendapatkannya bukan sekadar yuran yang dibayar kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malah beliau mendakwa proses mendapatkan sijil halal boleh mencecah sehingga RM200,000 bagi setiap premis.

Sehubungan itu, William menganggap ia akan menjadi cabaran terhadap tekanan kos perniagaan kecil yang diusahakan.

“Dan sehingga RM50,000 setahun jika seorang penyelaras halal diperlukan, di samping kos latihan pekerja baru dan sedia ada.

“Restoran berantai mungkin mampu untuk mematuhi peraturan-peraturan yang ketat ini, dan mendapat faedah-faedah pensijilan halal. Walau bagaimanapun, bagi peniaga kecil, baik muslim atau bukan, proses dan kos untuk mendapatkan pensijilan halal merupakan satu lagi bebanan kos, dalam persekitaran perniagaan yang sedang mengalami cabaran tekanan kos dan margin keuntungan yang rendah,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menggesa supaya kerajaan negeri tersebut mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

“Dan sebaliknya bekerjasama dengan pengusaha F&B untuk mempromosikan pensijilan halal dan dengan pihak berkuasa pensijilan, untuk memperkemas dan mengurangkan beban dan kos untuk mendapatkan sijil tersebut.

“Sebuah gerai ikan bakar, sebagai contoh, mungkin sukar untuk memohon dan mematuhi keperluan pensijilan halal,” tambahnya.

Terbaharu dilaporkan, kerajaan Kelantan bakal menjadi negeri pertama di Malaysia mewajibkan pensijilan halal bagi pemilik dan pengusaha premis berasaskan F&B yang beroperasi di negeri itu.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud, berkata setakat ini pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), mewajibkan perkara itu.

Ketika ini, pensijilan halal untuk pengusaha F&B di Malaysia adalah bersifat sukarela sejak Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dilaksanakan pada 1974.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here