IPOH – Seramai 14 pasangan selamat diijab kabul dalam Majlis Nikah Jamaie Syarie kali keenam di masjid negeri, Masjid Sultan Idris Shah II hari ini.
Peniaga dalam talian, Lokman Nor Hakim Azlina Afandy, 23, menyifatkan usaha yang dijalankan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) amat membantu pasangan yang ingin bernikah dengan kos yang rendah iaitu sebanyak RM3,000 sahaja.
Dia yang berasal dari Changkat Jering, Taiping bersama pasangannya, Azren Razlan, 20, dari Temerloh, Pahang, hanya mengambil masa empat bulan untuk menjalankan persiapan perkahwinan mereka.
“Emak saya yang mencadangkan supaya saya menyertai program ini. Kemudian, saya bertanya kepada mak pasangan dan dia pun bersetuju.
“Pakej ini lebih kepada pasangan saya sebab hantaran saya letakkan, mas kahwin sebanyak RM5,000 dan bajet yang lebih boleh digunakan untuk membeli kelengkapan rumah.
“Segala persiapan disediakan pihak penganjur sudah menyediakan dan ini memudahkan urusan pernikahan kami berdua.
“Saya berasa seronok kerana diberi peluang dan tidak semua orang bertuah dapat merasai pengalaman seperti ini. Ini adalah rezeki Allah yang permudahkan urusan, tiada benda susah,” katanya ketika ditemui di Masjid Sultan Idris Shah II, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim yang turut menikahkan salah satu daripada 14 pasangan dalam majlis tersebut.
Bagi Mohd Faizul Uzairi, 42, pula, dia melihat iklan program tersebut di Facebook dan merasakan itu adalah rezekinya untuk melangsungkan perkahwinan.
Ejen insuran yang berasal dari Tapah itu bersama pasangannya, Noor Farhana Yang Ghazali, 37, dari Bidor telah mendapat restu daripada keluarga masing-masing untuk menyertai majlis pernikahan beramai-ramai pada hari ini.
“Saya tanya pada pasangan dulu boleh tak sertai program ini dan keluarga masing-masing memberi restu kerana itu peluang untuk kami mendirikan rumah tangga, boleh jimat kos, cepat dan pantas.
“Selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak keluarga kami pun mendaftar untuk menyertainya,” jelasnya.
Dia berkata, majlis pertunangan telah diadakan pada 25 Disember lalu dan majlis resepsi sambut menantu mungkin diadakan pada Februari tahun depan.
Sementara itu, Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II, Abd Farid Salleh berkata, selepas lima tahun program tersebut tidak diadakan JAIPk melaksanakannya semula pada tahun ini.
“Kita dapat 14 pasangan dan ia dibuka kepada semua golongan dalam masyarakat berusia 18 tahun ke atas tetapi keutamaan diberikan untuk pernikahan kali pertama dan golongan kurang berkemampuan.
“Sebab itu kita ambil dengan kos RM3,000 sahaja iaitu kos yang amat rendah untuk membantu kita dalam pengimarahan masjid,” katanya.
Beliau berkata, pakej tersebut melibatkan urusan perkahwinan bermula dari akad nikah, dokumentasi, majlis resepsi, hotel penginapan dan pasangan juga dapat membawa ahli keluarga seramai 70 orang.
“Kos RM3,000 sangatlah minimum hanya RM1,500 untuk setiap seorang antaranya termasuk pelamin, makan beradab bagi meraikan pengantin,” ujarnya. – MalaysiaGazette