ANKARA/MOSCOW- Seorang mangsa yang terselamat dalam nahas udara pesawat Azerbaijan Airlines memberitahu, bahawa kapal terbang tersebut meletup di udara sehingga menyebabkan kerosakan kepada kabin sebelum ia stabil sekejap.
Subkhonkul Rakhimov, 48, yang mengimbas kejadian tersebut berkata, dia terjaga daripada tidur ketika pesawat berkenaan meletup dan melihat suasana kelam kabut kerana tidak tahu punca letupan berlaku.
Rakhimov yang berasal dari Tajikistan dan tinggal di Yekaterinburg, Rusia selama 24 tahun dengan keluarganya memberitahu, dia tidak tahu lokasi sebenar kejadian tersebut berlaku.
Dia yang merupakan seorang usahawan berkata, selepas letupan kuat itu, topeng oksigen mula dijatuhkan dan sebahagian kabin rosak namun pesawat berkenaan stabil semula dan mendapatkan altitud.
Katanya, dia dan semua yang berada di dalam pesawat berkenaan berharap kepada pendaratan cemas.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah saya selamat tanpa sebarang kecederaan. Saya menggesa semua orang Islam supaya percaya kepada takdir Allah dalam situasi sedemikian kerana ia boleh memberi ketenangan,” katanya.
PESAWAT TERHEMPAS DAN PROSES EVAKUASI
Menurut Rakhimov, dia terpelanting ke belakang kerusi ketika pesawat tersebut terhempas dan menyebabkannya tidak sedarkan diri.
Selepas sedar, dia cuba mencari jalan keluar di mana pesawat tersebut telah pun terputus dua.
Bagaimanapun, kawasan tersebut terlalu sesak menyebabkan laluan terhalang.
Dia kemudiannya bergerak ke bahagian ekor pesawat untuk mencari jalan keluar lain di mana dia ternampak kru kabin terutamanya lelaki, cedera.
Bersama mangsa yang terselamat lain, mereka cuba membuka tali pinggang keselamatan kru terbabit dan memberikan pertolongan cemas.
Tidak lama kemudian, dia mendengar bunyi siren ambulans dan penyelamat tiba untuk untuk memulakan evakuasi. -Agensi