KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menempelak pihak yang cuba memperlihatkan kononnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membantah hukuman sebat ke atas seorang pesalah khalwat berulang di negeri itu menerusi penyebaran poster palsu di media sosial.
Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Wan Mohd. Hasbi Haliq Wan Ahmad berkata, tindakan menyebar poster palsu itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah melanggar prinsip Islam yang menekankan kebenaran dan kejujuran.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak berhenti daripada menyebarkan fitnah kerana perbuatan tersebut bukan sahaja merosakkan hubungan sesama umat Islam, tetapi juga mencemarkan maruah pihak yang difitnah.
“Pemuda Amanah Terengganu menegaskan poster terbabit adalah palsu dan berniat untuk menimbulkan kekeliruan serta perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Kita juga menyeru masyarakat untuk berhati-hati dengan maklumat yang diterima dan memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum mempercayainya atau menyebarkannya.
“Marilah kita bersama-sama membina budaya politik yang berlandaskan kebenaran dan akhlak yang mulia,” katanya menerusi satu keyataan semalam.
Terdahulu, tular di media sosial sejak beberapa hari lalu yang cuba mengaitkan BN dan PH kononnya hukuman sebat ke atas seorang lelaki di khalayak ramai sebagai tindakan yang ekstrem.
Semalam, seorang pesalah khalwat berulang, Mohd Affendi Awang, 42, dihukum sebat sebanyak enam kali dengan disaksikan kira-kira 90 individu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Terdahulu, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail membuat keputusan hukuman itu dalam prosiding pada 20 November lalu.
Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Selain enam sebatan, tertuduh juga didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu. – MalaysiaGazette