KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, hukuman sebatan sama ada depan khalayak ramai atau sebaliknya termasuk denda dikenakan kepada pelaku bukan hukum hudud.
Katanya, ia hukuman ciptaan manusia khusus bagi kesalahan syariah yang diberi keluasan oleh Islam untuk pemerintah menggubal undang-undang.
“Demikianlah keluasan Islam membuka ruang ijtihad yang sangat luas dalam menggubal undang-undang melibatkan kesalahan syariah,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut bekas pemimpin Pas itu, tindakan Mahkamah Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman menurut enakmen negeri adalah syiar terhadap kesalahan syariah yang perlu dikenakan hukuman agar menjadi pengajaran pada orang Islam yang lain.
“Ia bukannya syiar pada kadar hukuman tetapi syiar pada kesalahan syariah iaitu khalwat,” katanya mengulas hukuman sebatan enam kali secara terbuka terhadap seorang duda di Terengganu semalam.
Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.- MalaysiaGazette