KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melancarkan Pasukan Keselamatan Kebakaran Istana (PKKI) negeri Pahang dalam satu majlis di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang di Indera Mahkota hari ini.
Menerusi titah baginda, penubuhan pasukan itu diharap dapat menyediakan kakitangan dan keluarga di istana di seluruh negeri bagi menghadapi sebarang tragedi tidak diingini.
“Saya berharap juga kakitangan dan keluarga di istana untuk cuba membantu jiran-jiran atau kaum keluarga berhampiran dengan kita untuk jadi pasukan hadapan jika berlaku tragedi seperti kebakaran atau banjir dan lain-lain,” titah baginda.
Turut hadir majlis tersebut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Ts Nor Hisham Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaacob serta Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir Ts Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
PKKI ketika ini dianggotai seramai 48 orang ahli diketuai Pegawai Teknikal dan Aset Pejabat Sultan Pahang, Leftenan Kolonel Normizan Md Nor.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pasukan dilengkapi dengan kemahiran khusus mengenai cara menangani kebakaran dan keperluan kecemasan lain.
“Kalau kita lihat kepada institusi diraja di istana ini sangat penting untuk menangani insiden berhubung kebakaran kerana kebanyakannya menyimpan bahan bersejarah. Jika berlaku kebakaran ia tidak dapat diganti dan kita hilang nilai sejarah.
“Dengan tertubuhnya pasukan ini, diharap dapat berfungsi sebagai respondan yang boleh mengambil tindakan segera jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
Sementara itu, Nor Hisham memberitahu, sebanyak 224 Pasukan Bomba Komuniti telah ditubuhkan di Pahang dengan keahlian seramai 2,994 orang sejak Januari sehingga November tahun ini. – MalaysiaGazette