KUANTAN – Seorang peniaga kerugian RM117,000.00 wang simpanannya setelah terpedaya dengan Skim Pelaburan Saham yang tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 67 tahun telah menyertai skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan melalui aplikasi WhatsApp pada 8 November lalu.
“Suspek mengakui pemegang jawatan tinggi dalam Bursa Saham dan menyatakan tiada cukai pelaburan dikenakan sekiranya menyertai pelaburan pada hari tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Yahaya, mangsa yakin untuk menyertai pelaburan terbabit dan telah membuat sembilan transaksi ke lapan akaun bank berlainan sebanyak RM 117,000.00.
Bagaimanapun, katanya mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila gagal berhubung dengan suspek dan tidak menerima sebarang keuntungan sepertimana yang dijanjikan.
Justeru, beliau berkata, pihak Polis Kontinjen Pahang menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Masyarakat juga diingat agar membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette