FILIPINA – Kemboja telah memberikan pengampunan kepada 13 wanita Filipina yang dipenjarakan atas tuduhan terlibat dalam skim ibu tumpang, amalan yang diharamkan di negara itu.
Kementerian Luar Filipina berkata, kesemua mereka telah dihantar pulang ke Manila hari ini.
“Wanita-wanita ini adalah sebahagian daripada 24 warga asing yang ditahan pada September lalu sebelum dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada 2 Disember atas kesalahan cuba melakukan pemerdagangan manusia rentas sempadan.
“Kesemua 13 wanita terbabit telah berlepas dari Phnom Penh dan tiba dengan selamat di Manila selepas menerima pengampunan diraja daripada Raja Norodom Sihamoni,” katanya.
Berdasarkan keputusan mahkamah di Kemboja, terdapat bukti kukuh bahawa wanita-wanita terbabit berhasrat untuk melahirkan bayi bagi dijual kepada pihak ketiga sebagai pertukaran wang.
Bagaimanapun, tiada maklumat diberikan mengenai nasib bayi-bayi yang bakal dilahirkan oleh mereka.
“Amalan ibu tumpang komersial di Kemboja telah diharamkan pada 2016, setahun selepas Thailand mengambil langkah sama dan ini menamatkan industri berkembang pesat yang sering memenuhi permintaan pasangan tanpa anak dari negara seperti Australia dan Amerika Syarikat,” ujarnya.
Bagaiamanapun, permintaan kekal tinggi khususnya selepas China melonggarkan dasar satu anak.
Beberapa agensi di Kemboja dilaporkan masih menawarkan perkhidmatan ini secara tidak sah kepada pasangan suami isteri terutamanya dari China dengan jumlah bayaran antara AS$40,000 (RM140,000) hingga AS$100,000 (RM447,000) untuk mendapatkan ibu tumpang.
Langkah Kemboja mengampunkan dan menghantar pulang 13 wanita Filipina itu dilihat sebagai usaha diplomatik yang menunjukkan komitmen negara tersebut terhadap undang-undang tempatan sambil menjaga hubungan baik dengan negara-negara jiran. – Agensi