AMERIKA SYARIKAT – Dua syarikat telekomunikasi gergasi Amerika Syarikat (AS), AT&T Inc dan Verizon Communications Inc selamat digunakan selepas bebas daripada sasaran operasi penggodaman dikenali sebagai Salt Typhoon iaitu pengodam dari China.
Menurut kenyataan AT&T, serangan itu bertujuan mendapatkan maklumat berkaitan perisikan asing.
Ketua Pegawai Undang-Undang Verizon, Vandana Venkatesh berkata, sebilangan kecil pelanggan berprofil tinggi dalam kalangan ahli politik dan pegawai kerajaan menjadi sasaran utama.
“Kami tidak mengesan sebarang aktiviti ancaman di rangkaian Verizon sejak beberapa waktu lalu. Selepas usaha besar-besaran menangani insiden ini, kami boleh melaporkan bahawa aktiviti berkaitan serangan ini telah dikawal sepenuhnya,” katanya kepada agensi.
Kedua-dua syarikat menyatakan mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa dan memaklumkan kepada pihak yang mungkin terjejas akibat pencerobohan tersebut.
“Kami tidak mengesan aktiviti oleh pelaku dari negara lain di rangkaian kami ketika ini,” kata AT&T kepada agensi.
Siasatan juga mendapati Republik Rakyat China menyasarkan individu tertentu yang mempunyai kepentingan dalam perisikan asing.
Laporan Wall Street Journal sebelum ini menyebut bahawa serangan Salt Typhoon turut memberi kesan kepada sistem yang digunakan kerajaan AS namun maklumat lanjut mengenai pencerobohan tersebut masih tidak banyak dikongsikan.
Dalam perkembangan berkaitan, T-Mobile USA Inc mendedahkan pihaknya berjaya mengesan dan menghalang tingkah laku mencurigakan pada penghala rangkaian mereka sebelum data pelanggan sempat diakses oleh penggodam.
Pihak kerajaan AS turut mengesahkan bahawa sembilan syarikat telekomunikasi telah menjadi mangsa pencerobohan Salt Typhoon namun tidak mendedahkan nama syarikat terlibat.
Sementara itu, China terus menafikan sebarang penglibatan mereka dalam kejadian yang sama.
Pentadbiran Presiden AS, John Biden baru-baru ini mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin industri telekomunikasi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif AT&T, John Stankey untuk membincangkan langkah menangani kelemahan keselamatan dalam sektor tersebut. – Agensi