KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Senator RA Lingeshwaran menyuarakan kebimbangan terhadap arahan kerajaan negeri Kelantan yang mewajibkan semua premis makanan dan minuman (F&B) di negeri itu mendapatkan pensijilan halal.
Beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai satu tindakan yang tidak inklusif dan mampu mengganggu keharmonian antara kaum serta agama di Malaysia ketika ini.
“Saya menghormati prinsip Islam dan kepentingan pematuhan halal untuk pengguna Muslim. Namun, polisi ini menimbulkan kebimbangan serius, khususnya bagi perniagaan bukan Muslim yang beroperasi di Kelantan.
“Langkah ini meletakkan tekanan tidak perlu kepada pemilik perniagaan yang mungkin tidak sejajar dengan amalan halal kerana perbezaan budaya dan agama,” katanya dalam kenyataan.
Lingeshwaran mengulas tindakan kerajaan negeri Kelantan baru-baru ini yang mewajibkan pensijilan halal dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman di negeri itu, bermula dengan daerah Kota Bharu, sebelum melaksanakannya bagi seluruh negeri.
Difahamkan sebanyak 453 sijil halal telah dikeluarkan kepada pelbagai perniagaan di Kelantan, termasuk restoran, hotel, farmasi, dan kedai rambut.
Lingeshwaran berkata, jumlah tersebut tidak menggambarkan keadilan kepada perniagaan kecil milik bukan Muslim, terutama yang diusahakan oleh komuniti India.
“Kelantan mempunyai lebih daripada 100 restoran India yang kebanyakannya menyediakan masakan sayur-sayuran atau lebih dikenali sebagai ‘vegetarian’, sesuai dengan keperluan pelanggan pelbagai agama.
“Memaksa mereka mendapatkan sijil halal adalah tidak adil dan tidak praktikal, apatah lagi proses pensijilan ini memerlukan kos yang tinggi dan memakan masa,” ujarnya.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar itu boleh membawa kesan buruk kepada perniagaan kecil, terutama dalam kalangan komuniti minoriti.
“Ramai pemilik perniagaan kecil mungkin terpaksa menutup operasi mereka kerana tidak mampu menanggung beban kewangan tambahan untuk mendapatkan sijil halal,” katanya.
Pemimpin DAP itu berkata, premis seperti restoran vegetarian atau tempat makan yang secara jelas memenuhi keperluan pelanggan bukan Muslim tidak sewajarnya diwajibkan untuk mematuhi dasar ini.
Berikutan itu, bliau menyeru kerajaan negeri Kelantan mempertimbangkan pendekatan yang lebih fleksibel. – MalaysiaGazette
Kelantan wajibkan restoran ada sijil Halal: Cadangan perlu diteliti