MERSING – Dendam dipercayai menjadi motif seorang pemandu lori dibunuh dan mayatnya ditemukan dalam bonet kereta Proton Waja di Kilometer 26 Jalan Jemaluang-Kahang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa yang berusia 28 tahun ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dalam bonet kereta miliknya dengan kesan kecederaan pada bahagian leher di tepi semak jalan berkenaan.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing mengesahkan kejadian penemuan mayat satu lelaki warga tempatan dalam bonet belakang Proton Waja berkenaan pada pukul 1.50 petang semalam.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk bedah siasat hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat risikan, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan berjaya menangkap seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian itu pukul 4.30 pagi tadi.

Kedua-dua saspek yang berumur 33 hingga 35 tahun ujarnya, ditahan di Johor Bahru dan kini reman selama tujuh hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Susulan kejayaan tangkapan itu ujarnya, kes tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam.

Jelasnya, siasatan mendapati motif kes berkenaan dipercayai dendam kerana mangsa mempunyai hubungan dengan bekas isteri suspek.

Terdahulu tular dalam media sosial penemuan sebuah kereta yang dihurungi lalat di jalan berkenaan dan berdasarkan maklumat, terdapat mayat dalam kereta tersebut.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Tangkap layar foto yang tular memaparkan sebuah kereta kereta dalam keadaan dihurungi lalat ditemui di Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here