Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abdul Halim.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mempertikaikan pengampunan diraja yang pernah dikurniakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap cuba memesongkan fakta.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli berkata, sewajarnya Dr Akmal menarik semula kenyataan itu kerana ia memperlekehkan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam proses pengampunan itu.

“Maka apa yang dipertikaikan oleh Akmal bukan sahaja meluru, malah memesongkan fakta yang diketahui umum. Saya berpandangan, wajar bagi Dr Akmal menarik semula kenyataan beliau. Jangan kita pertikaikan bidang kuasa pengampunan YDPA sehingga mencalarkan pandangan terhadap keluhuran institusi.

“Jika tidak berhati-hati, kenyataan tersebut bukan lagi sekadar serangan politik, tetapi boleh dianggap sebagai tindakan tidak menghormati institusi Raja dan undang-undang tertinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Dr Akmal  mempersoalkan pengampunan diraja yang diperoleh Perdana Menteri satu masa dahulu dan sejauh mana proses itu dibawa kepada Lembaga Pengampunan.

Adam berkata, Dr Akmal seharusnya lebih berhati-hati membuat kenyataan selain merujuk fakta terlebih dahulu serta memahami kuasa dan proses pengampunan YDPA yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

“Pengampunan Datuk Seri Anwar pada 2018 atas dasar pelanggaran prinsip keadilan telah pun melalui proses wajar termasuk pembentangan dan pertimbangan oleh Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Andai tidak cukup, Mahkamah Rayuan pada 2021 juga pernah membatalkan sebuah saman yang mempertikaikan pengampunan Diraja yang dikurniakan kepada Datuk Seri Anwar.

“Hal ini telah diputuskan secara tuntas melalui keputusan mahkamah sewaktu Datuk Seri Anwar dan Pakatan Harapan (PHJ) berada di blok pembangkang,” katanya.

Menurut Adam, pengurniaan pengampunan diraja bukan dibuat sewenang-wenangnya mengikut desakan politik tetapi dilindungi mekanisme yang telah ditetapkan undang-undang dan Perlembagaan.

“Kami di Harapan ketika itu menuruti proses ini dengan cermat dan hemah atas dasar memperakui keluhuran Perlembagaan kita,” katanya.

Selain itu, katanya, Kerajaan Madani juga tidak mengamalkan politik dendam atas pertembungan lampau.

“Ini kerajaan gabungan yang dianggotai pelbagai parti demi kepentingan rakyat dan kestabilan negara. Sehabis baik ia akan sentiasa dijaga.

“Apakah Dr Akmal mahu terus menutup sebelah mata terhadap pendekatan hari ini di bawah Kerajaan Madani?” soalnya.

Katanya lagi, bekas Datuk Seri Najib Razak didakwa dan disabitkan kesalahan pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad serta dijatuhi hukuman penjara pada 2022 semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri.

“Semuanya melalui proses undang-undang yang tidak dipertikaikan namun yang terus diserang adalah pentadbiran Datuk Seri Anwar.

“Hari ini, Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor masih diberi peluang sewajarnya melalui proses undang-undang yang adil tanpa sebarang campur tangan politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here