KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mempersoalkan isu pengampunan Diraja membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dangkal.
Pengarah Komunikasinya, Haziq Azfar berkata, pengampunan Diraja itu disahkan Mahkamah Persekutuan melalui penghakiman Mahkamah Rayuan pada 2021.
“Kenyataan Ketua Pemuda UMNO yang mempertikai pengampunan Diraja yang diperoleh oleh saudara Anwar Ibrahim adalah tindakan dangkal kerana mempersoalkan perkara yang terang dan jelas.
“Mahkamah memutuskan Lembaga Pengampunan yang memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengurniakan pengampunan kepada saudara Anwar telah dibentuk secara sah dan betul bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Tak mungkin tiada seorang pun peguam dalam kalangan Pemuda UMNO yang Dr Akmal boleh rujuk dalam soal ini?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Dr Akmal menerusi akaun Facebook miliknya mempersoalkan pengampunan Diraja yang diperolehi Perdana Menteri dan sejauh mana proses itu dibawa kepada Lembaga Pengampunan.
Menurut Haziq, keberadaan rayuan Anwar dalam Lembaga Pengampunan sudah jelas diterangkan dalam kenyataan media pembebasan penuh beliau yang dikeluarkan Istana Negara pada 16 Mei 2018.
“Keluarga saudara Anwar telah mengemukakan permohonan pengampunan Diraja sejak 24 Februari 2015, ditolak dan telah melakukan rayuan.
“Rayuan yang dibuat membolehkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Lembaga Pengampunan memberi pengampunan tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette