Ketua Biro Guaman dan Undang Undang AMK, Asheeq Ali Sethi Alivi

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengingatkan Pegawai Strategi Nasional MIC, Datuk R Thinalan supaya tidak mengeluarkan kenyataan membuta-tuli dengan mendakwa Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan subjudis.

Ketua Biro Guaman dan Undang Undang, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, tindakan itu tidak subjudis kerana Jabatan Peguam Negara tidak langsung menyentuh isu Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kenyataan Jabatan Peguam Negara tempoh hari adalah berkenaan proses pengampunan baharu oleh banduan yang mana ia tidak langsung menyentuh kesahihan Titah Adendum itu.

“Ia berkisarkan mengenai proses dan saluran betul untuk permohonan pengampunan baharu yang mana AGC dititahkan oleh Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk mengeluarkan pemakluman tersebut.

“Yang subjudisnya adalah berkenaan kesahihan Titah Adendum itu yang mana ia tidak langsung disentuh dalam kenyataan Jabatan Peguam Negara tempoh hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Peguam Negara menyatakan Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.

Jabatan itu memaklumkan, keputusan Lembaga Pengampunan itu akan dibuat berdasarkan tatacara dan saluran yang sudah ditetapkan mengikut undang-undang dan Perlembagaan, bukannya mana-mana saluran lain.

Pada 10 Disember lalu, Perdana Menteri ketika berucap di Parlimen, mengesahkan mengemukakan isu Titah Adendum ke atas Najib untuk dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Anwar menjelaskan Lembaga Pengampunan akan mengambil kira beberapa perkara termasuk perjalanan kes, hukuman, sikap di penjara, khidmat dan jasa serta kepercayaan boleh menyempurnakan tanggungjawab dengan baik sebelum membuat keputusan pada masa difikirkan sesuai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here