KUALA LUMPUR – Seorang guru mengaji warga Afrika direman akibat memukul kanak-kanak berusia 12 tahun sehingga cedera kerana enggan membaca Al-Quran di Kampung Melayu Ampang, Selangor.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare berkata, permohonan reman ke atas suspek berumur 37 tahun dikeluarkan Mahkamah Ampang selama seminggu sejak 24 Disember lalu hingga esok.
Katanya, ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 merujuk kepada penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
“Bapa mangsa warga Somalia, berusia 40 tahun telah membuat laporan pada 22 Disember lalu jam 3 petang apabila terdapat kesan luka di belakang badan mangsa akibat dipukul suspek menggunakan rotan.
“Mangsa kemudian telah dibawah ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut dan punca mangsa dipukul adalah kerana enggan membaca Al-Quran seperti diarahkan suspek.
“Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya bertindak menahan suspek jam 5.45 petang pada 23 Disember lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod lampau dan ujian saringan air kencing juga didapat negatif dadah.
“Pihak polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan penderaan atau pengabaian pada kanak-kanak,” jelasnya. – MalaysiaGazette