KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan video tular di tanah perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak, di sini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya memandang serius penularan video sekumpulan pihak tertentu yang berhimpun di salah sebuah pusara tanah perkuburan itu.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan mana-mana perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.
“Semua pihak adalah dimohon untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa agama Islam bagi menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang mempunyai maklumat dialu-alukan untuk menyalurkan kepada JAWI bagi membantu siasatan.
Mohd Na’im menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.
Terdahulu, polis menerima laporan berhubung sekumpulan individu sedang berzikir dalam keadaan pelik di sebuah tanah perkuburan di Setapak, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail memaklumkan, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada jam 4.23 petang
Katanya, video tular kumpulan itu sedang berzikir dalam keadaan pelik di sebuah tanah perkuburan di Setapak berlaku kira-kira pukul 10.05 pagi.
Sejak semalam, tular rakaman di aplikasi TikTok, sekumpulan individu berpakaian serba putih sedang berzikir dalam keadaan pelik di Tanah Perkuburan Danau Kota, Setapak.
Situasi itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen yang bimbang dengan penyebaran ajaran sesat yang berlaku di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette