KOTA TINGGI – Jenazah pemandu lori yang ditemukan mayatnya dalam bonet keretanya di Mersing semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Pasak di sini malam ini.
Jenazah Shakirin Mohammad, 28, dikebumikan kira-kira pada pukul 8 malam dengan dihadiri lebih 50 ahli keluarga, saudara mara dan kenalan.
Terdahulu jenazah disolatkan di Masjid Jamek Felda Pasak sejurus selesai solat maghrib selepas bedah siasat selesai dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Shakirin merupakan seorang duda dan tidak mempunyai anak merupakan anak jati kawasan felda berkenaan dan sebelum ini tinggal bersama-sama bapa, Mohammad Abu Bakar, 61, dan ibunya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani dilaporkan berkata, mayat lelaki berusia 28 tahun ditemukan berpakaian lengkap dengan kesan kelar di leher disembunyikan dalam bonet kereta Proton Waja di tepi semak, Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing pukul 1.50 tengah hari semalam.
Beliau dilaporkan berkata, motif pembunuhan dipercayai berlaku kerana mangsa didakwa mempunyai hubungan dengan bekas isteri suspek.
“Bertindak atas maklumat risikan yang diperoleh, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan wanita warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian ini pada 4.30 pagi hari ini.
“Kedua-dua suspek yang berumur lingkungan 33 hingga 35 tahun telah dibenarkan untuk ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” ujar Abdul Razak.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Dendam ada hubungan sulit punca pemandu lori dibunuh, mayat ditemui dalam bonet kereta