JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menyumbang RM2 juta kepada rakyat Palestin menerusi Misi Bantuan Kasih Johor-Palestin.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ketika ini persiapan rapi misi kemanusian berkenaan sedang dilakukan bagi memastikan sumbangan dapat diterima rakyat Palestin.
“Pembungkusan dan persiapan akhir penghantaran bantuan terbabit sedang disiapkan di Easy Log Air Cargo, Alqastal-Almushatta, Amman, Jordan.
“Sebanyak 10 treler berisi bantuan berkenaan dijangka melintasi sempadan Jordan awal bulan depan atau selewatnya penghujung Januari bagi diagihkan kepada rakyat Palestin.
“Saya teliti dan semak sendiri pembungkusan dan persiapan akhir penghantaran bantuan kepada rakyat Palestin itu di sebuah gudang kargo di Amman, Jordan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.
Menurut beliau, pecahan sumbangan bantuan RM2 juta membabitkan RM427,500 barangan bagi makanan panas selama 14 hari untuk manfaat 35,000 rakyat Palestin dan 9,000 kotak barangan keperluan kesihatan, wanita dan kanak-kanak (RM753,300).
Jelasnya, ini termasuk 4,000 pek makanan bagi 20,000 rakyat Palestin (RM700,000) dan 80 khemah ‘Kampung Johor’ (RM119,200).
Mohd Fared berkata, kerajaan Johor berterima kasih kepada rakyat negeri ini selain semua pihak yang menberikan sumbangan kewangan, idea dan tenaga.
Pada Julai lalu, Johor meneruskan inisiatif membantu rakyat Palestin dengan melancarkan kutipan sumbangan menerusi Tabung Kasih Johor – Palestin 2.0.
Tabung berkenaan digerakkan hampir 3,000 surau dan masjid di seluruh negeri ini yang diarahkan untuk membuat kutipan khas pada setiap Jumaat. – MalaysiaGazette