MUAN, Korea Selatan – Kegagalan mengeluarkan tayar untuk mendarat mungkin merupakan antara punca nahas sebuah pesawat penumpang ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, hari ini, kata pihak berkuasa.
Pesawat Boeing, B737-8 milik Jeju Air yang membawa 181 penumpang, termasuk enam anak kapal, dari Bangkok itu cuba melakukan pendaratan di lapangan terbang tersebut pada jam 9.07 pagi apabila ia tergelincir daripada landasan dan merempuh pagar, mengakibatkan sekurang-kurangnya 85 orang terbunuh.
Pihak berkuasa lapangan terbang berkata, pesawat tersebut cuba melakukan pendaratan dengan komponen pendaratan tidak berfungsi selepas percubaan pendaratan kali pertama gagal.
Bagaimanapun, pesawat Boeing, B737-8 itu gagal mengurang kelajuan ketika mendarat sehingga berada di hujung landasan dan merempuh struktur yang berada di pinggir lapangan terbang, kata pihak berkuasa.
Nahas yang menyebabkan kerosakan teruk pada pesawat menyebabkan berlaku kebakaran. – Agensi