GURUN – Kelindan lori yang membawa muatan barangan rumah maut, manakala dua lagi rakannya cedera selepas kenderaan mereka terbabas di Kilometer 77.6, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini, semalam.
Mangsa, Mohamad Zulfiqry Zunaidi Abdullah, 20, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami pelbagai kecederaan parah pada badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku jam 5.30 petang apabila lori dipandu lelaki berusia 33 tahun tersebut telah hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan.
“Siasatan mendapati lori tersebut datang dari arah Pendang menghala ke Sungai Petani telah hilang kawalan sebelum melanggar tiang papan tanda yang berada di kiri jalan.
“Impak kejadian itu menyebabkan kelindan yang berasal dari Senggarang, Johor yang berada di tempat duduk penumpang sebelah kiri meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandunya yang berasal dari Serian, Sarawak dan seorang lagi kelindan berusia 24 tahun dari Keningau, Sabah yang hanya cedera pada kepala dan kaki berjaya keluar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Pendang untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette